Ada pula yang menyatakan bahawa Valentine ialah seorang Paderi Rom yang membantu pasangan kekasih berkahwin sewaktu di bawah pemerintahan raja yang kejam. Maka untuk mengingati akan jasa paderi ini maka disambutlah 14 Febuari setiap tahun sebagai Hari Valentine.
Malah kini setelah beberapa tahun berlalu kisah ini masih lagi berulang, cuma kalau dahulu ianya dipelopori oleh persatuan pelajar kini ianya dibawa oleh golongan politik yang menganggap diri mereka sebagai wakil agama Islam.
Seharusnya saya mengaku dan menanggap diri sebagai seorang Islam pastinya saya tertanya-tanya adakah benar asas yang dibawa mereka ini, sebelum kita lebih jauh terlanjur dan terpesong adalah lebih baik sekiranya kita membuat sedikit kaji selidik.
Saya bukan marah atau tidak setuju dengan kempen PMI UTM ketika itu, jangan salah faham, uma, satu perkara yang saya tahu tentang orang Malaysia ini dan penulis risalah PMI ketika itu ialah ‘fakta’ yang dipetik selalunya bak kata pepatah “main cedok” dan kebanyakan rakyat Malaysia memang malas untuk buat kerja rumah.
Tahukah anda memang sebelum ini Gereja Katolik ada menyambut Hari Valentine, yang mana nama Saint Valentine diletakkan di dalam Kalendar Sambutan Wali-Wali Kristian “Roman Catholic Calendar of Saints”?
Namun terdapat satu masaalah tentang Wali Kristian yang bernama Saint Valentine ini, yakni, Gereja Katolik sendiri tidak pasti, sangsi dan tidak tahu tentang asal usul kewujudan Saint Valentine itu sendiri. Terdapat tiga kisah mengenai asal usul St Valentine iaitu:
1) Seorang paderi pada zaman Empayar Rome yang membantu penganut Kristian sewaktu pemerintahan Claudius II yang ditangkap dan dipancung pada tarikh 14 Febuari.
1) Seorang paderi pada zaman Empayar Rome yang membantu penganut Kristian sewaktu pemerintahan Claudius II yang ditangkap dan dipancung pada tarikh 14 Febuari.
2) Bishop (ketua paderi kawasan) bandar Terni yang dipancung juga ketika pemerintahan Claudius II
3) Seorang paderi, kononya di Africa yang membantu pasangan muda berkahwin, ditangkap dan dibunuh yang mana anak gadis menulis surat dan memberikan hadiah kepadanya supaya dia tidak kesunyian di dalam penjara.
Tradisi popular
Namun semua yang dinyatakan di atas adalah khabar cerita dan bukan fakta penulisan sejarah, ianya hanyalah berdasarkan cerita popular yang menjadi buah mulut zaman berzaman. Boleh jadi St Valentine bukan salah satu dari mana-mana di atas.
Maka atas sebab itulah, pada tahun 1969, Gereja Roman Katolik telah membuang sambutan Hari Valentine dalam Kalendar Rasmi Gereja Katolik.
Maka sama seperti kebanyakan mufti Islam yang lain, Gereja Katolik juga tidak menyambut Hari Valentine sejak tahun 1969. Walaupun ada beberapa gereja tempatan yang masih menyambut namun ia hanyalah sekadar tradisi popular.
Asal usul Hari Valentine, sekiranya dikaji dengan lebih mendalam, mula-mula diperkenalkan oleh Pope Gelasius I untuk menggantikan sambutan Hari Lupercalia yang disambut oleh golongan pagan Rome.
Tibanya Hari Lupecaria, teruna-teruna muda Rome akan mencabut sebuah loteri yang mana di dalamnya tertulis nama seorang gadis. Kemudian, apabila loteri telah diabut dan nama diketahui, teruna berkenaan akan mendampingi gadis berkenaan sebagai teman seksual (friends with benefit) selama setahun.
Pope Gelasius yang dipercayai langsung tidak menggemari aktiviti penuh ghairah ini kemudianya telah memperkenalkan Hari Valentine dengan tujuan untuk menggalakkan anak-anak muda ketika itu menjauhi aktiviti berkenaan dan ubah kepada hari yang mana mereka menghantar surat dan hadiah kepada gadis yang mereka suka.
Pastinya ada yang bertanya, mengapakah Gereja Katolik mereka suatu watak malah diangkat sebagai wali dan beratus tahun meraikanya? Adakah ini sebenarnya suatu konspirasi untuk memperdaya umat Islam dengan menyatakan ini adalah perayaan secular dan merosakkan akidah?
Secara peribadi saya tidak berpendapat begitu, kalau kita melihat pada sejarah Gereja Katolik memang seringkali mengambil tindakan dan keputusan yang aneh belaka seperti era ‘Siasatan Sepanyol’ (Spanish Inquisition) dan tindakan memenjarakan Galileo Galilei kerana beliau menentang usul gereja yang menyatakan bahawa matahari dan planet berputar mengelilingi bumi.
Jadi untuk menyatakan bahawa Hari Valentine itu mempunyai unsur-unsur Kristian tidaklah berapa tepat kerana dapat kita lihat bahawa Gereja Katolik sendiri pun secara terangan telah menolak sambutan perayaan ini.
Bolehlah dikatakan bahawa, walaupun ianya agak pelik untuk didengar namun pihak gereja dan cendekiawan Islam sepakat dalam hal ini bahawa ini bukanlah sebahagian dari perayaan mereka.
Propaganda kapitalis
Secara peribadi saya menganggap bahawa Hari Valentine adalah lebih kepada propaganda syarikat coklat dan golongan peniaga kapitalis yang mahu membuat untung lebih dengan menggunakan modal cinta dan kasih jadi tak usahlah kita membazir duit dengan terpengaruh atau terpedaya sebagaimana ketika kecil saya sering terpedaya dengan mainan dalam iklan ‘Tora’ dan ‘Ding Dang’ yang tidaklah sehebat yang digambarkan.
Namun saya juga berpendapat, kalaulah rasa teringin sangat nak hadiahkan isteri sesuatu yang cantik atau tergerak hati untuk keluar berpacaran ketika hari berkenaan, tak perlulah kita dengan begitu sempit dan mudah, terus-menerus dengan sewenangnya menjatuhkan hukum.
Walaupun saya bukanlah cendekiawan agama, tapi saya tak rasalah seseorang itu tidaklah jatuh menjadi kafir sekiranya dia keluar makan malam atau membeli bunga sewaktu Hari Valentine. Selagi mana tiada hukum syarak yang dilanggar dan selagi mana perbuatan maksiat dihindari.
Beli bunga ros mahal dengan makan McDonald je pun tak payahlah pulak nak dikafirkan orang tu, kasi can lah….
Namun buat pasangan kekasih bercinta, saya akhiri penulisan saya kali ini dengan sedikit kata-kata nasihat yang dipetik dari sebuah lagu yang berbunyi.
“Kalau berpacaran memang banyak pantang larang, menjaga susila ibu bapa adik abang. Apabila berdua, carilah tempat yang terang, agar tidak pula mencuba aksi terlarang”
P/S – Ana Raffali pun dah nak berumah tangga, jangan lama-lama sangat, nikah dulu baru kahwin ye adik-adik, jangan terbalik.
Zaidel Baharuddin, seorang jurutera elektronik, boleh diikuti di WirawanWeb.com
No comments:
Post a Comment